Ziarah
Iwan Simatupang
Pustaka Antara
Harga (RM5 sebelum diskaun)
Iwan Simatupang adalah seorang penulis hebat yang lahir mendahului zaman. Seorang sastrawan angkatan 50-60-an yang mendapat tempat di zaman 66-70. Pada masanya, karya sasteranya iaitu novel, cerpen dan drama kurang mendapat perhatian bahkan sering menimbulkan salah faham. Mungkin kerana ia lahir mendahului zamannya. Salah satu karyanya yang terkenal ialah novel Ziarah.
Buku ini adalah novel yang ketiga saya baca berturut-turut. Bermula dengan novel Veronika Decides To Die tulisan Paolo Coelho, kemudian buku Saman tulisan Ayu Utami, dan buku ini Ziarah oleh Iwan Simatupang. Yang menariknya ketiga-tiga buku ini mempunyai tema yang hampir sama, mempunyai watak yang gila, gila-gila atau macam gila. Saya cuba mencari persamaan antara ketiga novel ini, ternyata banyak bicara tentang permasalahan hidup, Ziarah dan Veronika tentang mati dan kematian, sementara Saman tentang wanita dan feminisme.
Novel Ziarah ini pernah memenangi Anugerah Unesco/Ikapi tahun 1968 juga Hadiah Sastra Asean pada tahun 1977. Lulusan bidang antropologi di Leiden, Belanda juga Universiti Sorbonne, Paris.
Membaca buku Ziarah ini memberikan kejutan besar kepada saya kerana jalan ceritanya yang unik dan berlainan dari buku cerita biasa. Banyak unsur falsafah, dan banyak cerita yang pelik dan tidak masuk akal. Watak dalam buku ini mengalami kejadian yang tidak disangka, mengejut. Kisah mengenai mati dan falsafah kematian. Banyak watak dan cerita yang sukar difahami. Watak yang berkelakuan aneh dan tidak masuk di akal.
Terus-terang, saya tiada maklumat tentang siapa sebenarnya Iwan Simatupang, melainkan beliau ialah sorang tokoh penulis Indonesia dulu, dan namanya yang unik dan catchy. Iwan Simatupang lahirkan di Sibolga, Sumatera Utara, 18 Januari 1928 dan meninggal dunia pada tanggal 4 Ogos 1970 ketika berumur 42 tahun.
Iwan pernah menjadi guru, wartawan, pengarang cerpen dan puisi, selain menulis esai, drama dan novel. Iwan menulis banyak sketsa tentang orang-orang tersisih dan terpinggir. Watak-watak dalam karya Iwan kebanyakannya adalah manusia-manusia kecil, manusia biasa yang bukan hero yang hebat. Iwan menganggap mereka sebagai manusia perbatasan, manusia eksistensialisme.
Iwan Simatupang sebenarnya adalah seorang tokoh besar nusantara yang cuba bereksperimen dengan falsafah eksistensialisme dan absurdisme, sesuatu yang popular pada masa itu. Iwan gemar sekali membaca dan merenung pemikiran Albert Camus, Nietszche dan Satre.
Iwan terpengaruh dengan tokoh-tokoh eksistensialisme ini yang beliau lihat banyak menulis tentang kebebasan individu. Kebebasan individu dianggap penting dalam hubungan sesama manusia yang sering juga mencetuskan konflik. Iwan percaya eksistensialisme boleh memberi ruang dan sumbangan kepada anak bangsanya yang baru keluar dari penjajahan, cuba mencari dan membina kekuatan diri. Anak bangsa perlu keluar dari kongkongan pemikiran penjajah dan lahir dengan pemikiran yang bebas, terbuka dan segar.