Ahad, Jun 22, 2008

Empat





Empat bukanlah nombor yang diminati oleh ramai orang. Rakan-rakan bangsa tionghua kalau boleh mahu mengelak dari menggunakan nombor empat. Ada sesetengah hotel sebagai contoh secara sengaja telah menukar bilik nombor empat kepada nombor lain. Empat atau disebut `sei’ juga bermakna mati. Itu sebab, ramai yang mengelak dari nombor empat.

Saya tidak sedar yang blog ini juga sudah melangkaui nombor empat. Empat tahun maksud saya. Saya mulakan blog ini dengan menulis entri pertama pada 22 Jun, 2004. Saya juga tidak sedar yang blog ini akhirnya menulis tentang buku-buku yang saya beli dan baca juga tentang dunia perbukuan.

Setelah empat tahun juga, saya mendapat kepuasan dengan berkongsi pengalaman bersama buku dengan ramai pelayar di internet. Ramai juga akhirnya menjadi rakan akrab yang berkongsi minat yang sama. Melalui tulisan saya di blog juga saya diberi penghormatan dengan dijemput berkongsi pengalaman di berbagai majlis dan acara.

Setelah empat tahun nama jiwarasa yang mulanya hanya saya reka sewaktu mencipta alamat email, telah menjadi nama yang dikenali di dunia blog lebih dari nama sebenar saya yang memang sudah `terkenal’.

Saya bukan percaya kepada tahyul angka 4 tetapi saya rasa usia blog ini seolah mengekang minat saya untuk terus menulis di blog. Keseronokan menulis di blog sudah tidak seperti dahulu. Melihat statistik pengunjung ke blog ini pernah jadi motivasi untuk saya menulis. Saya jadi terangsang bila melihat pengunjung yang datang mencari berbagai sumber dan meletakkan pautan di blog masing-masing.

Mungkinkah kesibukan tugas hakiki menyebabkan saya rasa malas. Rasa bosan juga melanda bila membaca akhbar perdana. Membaca keletah dan gelagat tokoh politik negara menambah rasa `cemuih’ dan `getek’ saya. Sangat sukar mencari permata dalam ucapan para pemimpin. Yang ada hanya buih-buih yang akhirnya akan hilang begitu sahaja.

Saya tidak percaya kepada tahyul angka empat, tetapi saya perlukan bukti bahawa blog ini perlu melangkaui angka 4...

Selasa, Jun 17, 2008

Dewangga Sakti & Mabok Kepayang




Judul Album : Mabok Kepayang
Band: Dewangga Sakti
Genre: Tradisional/Etnik/Malay Folk/Eksperimental
Penerbit : Penerbitan Lewat Senja
Harga: RM15


Saya masih sibuk dengan urusan kerja bila Zul menghantar pesanan ringkas. Zul bertanya bila boleh bertemu. Dua hari sebelumnya Zul menghantar pesanan ringkas bertanyakan alamat. Mahu mengirim Cd baru, katanya. Saya sedang mesyuarat di Titiwangsa, KL tetapi tidak sempat untuk bertemu.

Jam sudah melangkau 6 petang, petang jumaat itu, ketika saya selesai tugas di PNB Sime Darby Park. Kami lalu berjanji untuk bertemu di Restoran Lotus yang terletak berdekatan.

Zulkifli Ramli adalah rakan akrab saya di blog. Kami berkongsi banyak kegemaran yang sama. Sama-sama minat buku, mengumpul dan membaca. Kami juga minat muzik yang sama. Saya meminati muzik tradisional dan suka membaca dan mengkaji susur galur alat muzik dan seni budaya bangsa. Jika ada kesempatan berbual, masa terasa berlalu terlalu cepat kerana begitu banyak yang ingin dikongsi. Selain minat, kami juga berkongsi universiti yang sama. Zaman saya dahulu di PJ dan sebelum berpindah ke Gombak, tempat Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti mula bertemu.

Kelibat Zul muncul akhirnya. Jauh juga beliau berjalan dari KLCC. Selepas memesan minuman, Zul menghulurkan CD yang sekian lama saya tunggu. Kulit depannya gambar grafik wajah seorang wanita. Macam Maya Karin, kata saya. Itulah album pertama Dewangga Sakti.

Zulkifli Ramli adalah pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti. Zulkifli pernah mendapat pengalaman berharga menuntut ilmu bermain gambus dari arwah Fadzil Ahmad.

Dewangga Sakti sudah lama ditubuhkan. Mereka sudah mula bermain muzik seawal tahun 2000. Sebelum itu mereka ini adalah penuntut UIA yang pernah jadi penggiat kumpulan gamelan di kampus. Seingat saya, tidak ramai pemain gambus dalam negara kita, lebih-lebih lagi yang bermain muzik tradisional dengan nuansa kontemporari. Seorang lagi pemain gambus yang saya ingat ialah Farid Ali yang juga saya milik albumnya.

Itu yang buat saya hormat kepada Zul dan Dewangga Sakti. Anak-anak muda ini bermain muzik bukan sekadar untuk mencari makan. Mereka masing-masing punya kerjaya tetap. Mereka bermain muzik kerana minat dan keinginan untuk menghidupkan dan menyegarkan semula lagu irama tradisional. Zul boleh bercerita tentang sejarah alat muzik dan hubung kait dengan budaya Melayu dan Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa alat muzik kini sebenarnya telah diilhamkan oleh orang Islam. Sejarah perkembangan Islam di Nusantara terbukti turut diwarnai oleh penggiat seni yang berdakwah melalui lagu.

Sunan Bonang dan anak muridnya, Sunan Kalijaga tercatat dalam sejarah, menyebarkan Islam melalui wadah seni. Beliau giat berdakwah melalui gamelan dan pentas wayang. Masyarakat masa itu yang kuat dengan pengaruh Hindu telah beliau dakwahkan dengan memasukkan unsur Islam dalam persembahan seni.

Begitu juga irama Zapin Melayu yang dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab dan Hadramaut sebagi wahana dakwah.

Album pertama Dewangga Sakti ini berbentuk EP atau mini album. Ada 5 trek lagu yang kesemuanya lebih kurang 20 minit. Oleh kerana ini hanyalah album pertama yang diusahakan sendiri oleh Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, walaupun memang terpaut bila pertama kali melihat kulit album.

Saya pasang dan dengar lagu ini di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang dari KL ke Ipoh. Saya benar-benar terkejut apabila mendengar kualiti lagu di dalam album ini. Album ini benar-benar bermutu tinggi! Kualiti rakamannya sangat bagus! Saya boleh mendengar dengan jelas setiap instrumen yang dimainkan. Sungguh asyik mendengar petikan gambus, gitar dan gesekan biola. Alatan perkusi juga dimainkan secukupnya dengan tidak mengambil-alih peranan alat muzik lain. Petikan gambus memang mengasyikkan.

Lagu-lagu dalam album ini terdengar segar, terasa mendengar album new age atau world music buatan Malaysia yang berteraskan irama tradisional.

Prelude dan Selembar Kaseh sudah menambat hati saya dan sesuai sebagai lagu pemula. Lagu yang dicipta Zulkifli dan senikata oleh Mohsen ini dinyanyikan oleh Mohsen, vokal kumpulan Dewangga Sakti. Liriknya puitis dan menyentuh.

Lagu Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) memang sesuai dengan tajuknya. Lagu yang seakan menggambarkan suasana bergembira dan pesta-pestaan masyarakat Melayu. Budaya kenduri-kendara, sorak-sorai tetapi isinya kosong. Biar menang bersorak, tetapi kampung tergadai.

Lagu Kembali Menchari membuai perasaan saya dengan vokal Mohsen yang menyanyi dengan begitu santai. Sekali dengar seperti vokal kumpulan Dlyod, dua kali dengar macam Ebiet G Ade. Lagu ini diserikan dengan irama keroncong melalui petikan gitar. Liriknya perlu diamati yang membawa pesan berguna agar kembali ke asal. Asal yang mana?

Lagu Tertinggal Kapal Angkasa pula sarat dengan permainan instrumen yang diterajui oleh alat akordian dan biola. Lagu instrumental ini mengisahkan tentang Pak Abdul yang tertinggal kapal angkasa kerana tertidur pada hari pelancaran.

Kesimpulannya album ini patut dimiliki. Mutu album jauh lebih tinggi dari harga pasaran RM15. Saya letakkan album ini setanding dengan mutu album Mohar. Saya sangat berharap ada pihak yang dapat mengesan bakat anak-anak muda Dewangga Sakti ini supaya lekas terbit album penuh.

Album ini boleh dimiliki melalui Zulkifli Ramli di www.dewanggasakti.blogspot.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails