Sabtu, Oktober 27, 2007

Seni Muzik Keroncong

.

.



Seni Muzik Keroncong
Ariff Ahmad.
ISBN 967-942-547-9
Penerbit UKM
RM40.00.

Saya peminat muzik keroncong. Muzik yang mungkin dianggap untuk orang tua. Entah mengapa ada sesuatu yang menarik tentang lagu dan muzik keroncong yang berjaya menambat hati saya. Petikan gitar, bass dan ukulele dalam muzik keroncong seakan membawa saya ke daerah dan suasana yang berlainan. Setiap kali mendengar muzik keroncong, saya rasa seakan terbuai dan dibawa hanyut ke zaman dahulu semasa kecil. Terbayang minum petang, di bawah pohon rendang atau di anjung rumah, menikmati teh jarang dan penganan dan kudap dimasak emak.

Saya ada teori tentang lagu keroncong yang mungkin ramai tidak setuju. Lagu keroncong dikatakan mempunyai pengaruh Poertugis yang pernah menjajah Melaka. Ianya mungkin dibawa ke Betawi apabila Portugis dikalahkan Belanda tahun 1624. Muzik keroncong asalnya dinyanyikan oleh tawanan perang Portugis yang ditawan oleh Belanda. Muzik keroncong ini kemudiannya berasimilasi dengan muzik tempatan lalu menjadi muzik Indonesia.

Saya punya teori yang muzik keroncong berasal dari zaman keagungan Islam Andalusia. Kerajaan Umayyah yang diasaskan oleh Khalifah Abd Rahman Al Dakhil di Cordova Sepanyol dan berjaya membangunkan satu tamadun yang hebat. Kerajaan Islam Umayyah berkembang dengan pesat di Andalus, Sepanyol, dan membangunkan tamaddun dalam bidang agama dan bukan agama. Cordova telah menjadi pusat ilmu pada kurun ke 10 Masehi dan bangsa Eropah belajar dari kaum muslimin bukan sahaja di Cordova tetapi di Seville, Toledo dan Granada.

Andalus telah melahirkan ramai tokoh-tokoh Islam dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang muzik. Ibnu Firas dan Ibnu Ziryab adalah antara pelopor bidang muzik di masa itu.

Portugis dahulu adalah sebahagian dari Sepanyol. Apabila Kristian mengambil alih Andalus, ramai umat Islam yang dihalau dan dipaksa menukar agama. Ramai umat Islam yang berpura-pura menukar agama dengan cuba mengekalkan keIslaman mereka. Golongan ini dinamakan Morisko yang merujuk kepada kata asal Moors iaitu orang Islam yang berasal dari Maghribi.

Kini, lagu keroncong Morisko antara lagu keroncong popular di Indonesia. Mungkinkah ianya dicipta oleh seorang Portugis, yang datuk neneknya mungkin asal Islam yang dikerah menjadi tentera Portugis? Itu sebabnya muzik keroncong yang sudah diadun dengan muzik tempatan terasa begitu dekat dihati.

Buku Seni Muzik Keroncong ini adalah tulisan seorang tokoh penggiat muzik keroncong, Dr Ariff Ahmad yang merupakan karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku ini menceritakan tentang muzik keroncong di Malaysia, yang dipercayai diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh pekerja buruh dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Seni muzik seperti gamelan, keroncong, kuda kepang, barongan, silat dan sebagainya dibawa bersama.

Tidak hairanlah banyak lagu keroncong Indonesia yang masyhur di Malaysia. Namun buku ini mendedahkan ramai tokoh Tanah Melayu yang mencipta lagu keroncong. Antara tokoh-tokoh yang terkenal masa itu ialah tokoh seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad dan Zainal Ibrahim.

Lebih menarik buku ini memuatkan lirik lagu dan juga nota muzik lagu-lagu keroncong yang popular. Rupanya banyak sungguh lagu-lagu keroncong tulisan orang Malaysia tetapi mungkin tidak begitu diketahui ramai.

Minat sya kepada muzik keroncong juga telah memperkenalkan saya kepada para pendokong dan penggiat muzik keroncong di Indonesia. Saya telah dijemput bergabung ke keroncong@yahoogroups.com yang diusahakan oleh Adi Bangun. Saya jadi kerdil bila dibandingkan rakan-rakan di situ yang bermain muzik keroncong dan punya kumpulan muzik keroncong yang aktif bermain muzik keroncong. Saya jadi terkedu bila ditanya tentang muzik keroncong Malaysia. Saya hanya boleh menyebut nama seperti Kartina Dahari, Zubir Said dan M Nasir. Akhirnya buku ini sekurang-kurangnya memberitahu, Malaysia juga pernah punya karyawan keroncong yang berbakat.



Sabtu, Oktober 20, 2007

Salam AidilFitri


Cepat benar masa berlalu. Rasa baru semalam Ramadan datang. Sudah mahu kembali. Rasa belum puas bermesra, kita sudah perlu berpisah. Kalau dipanjangkan umur, kita bertemu semula tahun depan.


Syawal kini menjelma diri. Kepada semua rakan-rakan pengunjung blog ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. Walaupun ramai yang belum pernah bersua, tetapi keakraban tetap terasa, bagai sudah kenal lama. Pohon maaf dari saya andai ada tulisan di sini yang menyinggung jiwa dan rasa.


Selamat pulang ke kampung. Berhati-hati di jalan raya dan di musim raya.
Salam Aidil Fitri untuk semua. Selamat Pulang Ke Fitrah

Isnin, Oktober 15, 2007

Selamat Jalan...Joe Labi

.
Mohd Faizal Kamarudin (JOE LABI)
4 Oct 1973 - 15 Oct 2007

Terkejut dan terkedu bila saya baca komen Azran Ahmad, Produser siri Mencari Cinta di blog ini. Begitu juga komen Sarah.



Joe Labi atau nama sebenarnya Mohd Faizal Kamarudin telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di Sg Lui pada hari raya ketiga. Jenazah beliau telah dibawa pulang ke Temerloh dan dikebumikan pada 3:15pm 16 Oktober, 2007.

Saya ada tulis tentang Joe Labi di sini. Semenjak itu kami jadi rakan karib di ruang sembang Yahoo Messenger dan Yahoo 360. Joe Labi sering bercerita tentang minat dan cita-cita beliau untuk berjaya dalam bidang penyediaan makanan. Ada juga beliau bercerita tentang rakan-rakan beliau di program Mencari Cinta. Semuanya yang baik-baik.

Joe Labi juga sanggup meninggalkan kerjaya di Lembah Kelang dan pulang ke kampung di Temerloh agar boleh duduk berdekatan dengan orang tua. Joe memulakan Pucuk Rebung Food Service di Temerloh.

Moga Allah menempatkan arwah dalam golongan yang diberi Rahmat.
Dari Dia kita datang, kepada Dia kita pergi. Al-Fatihah

Selasa, Oktober 02, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin

.


Nama Beta Sultan Alauddin
Faisal Tehrani
Aberdeen Books World
2007
RM13.50
147 mukasurat

Bilakah kali terakhir anda membaca buku yang wataknya adalah hero tempatan? Ingat lagi bagaimana perasaan kita bila membaca Hikayat Hang Tuah semasa kecil dahulu? Berapa ramai kanak-kanak yang teruja dan menjadikan Hang Tuah sumber inspirasi dan berangan-angan menjadi wira segagah Hang Tuah?

Rasanya sudah agak lama, kita tidak punya watak tempatan yang boleh dijadikan wira dan tokoh ikutan kanak-kanak.

Itulah sebab agaknya penulis buku ini menghasilkan buku bertajuk Nama Beta Sultan Alaudin ini. Novel ini sebenarnya didasarkan dari cerpen-cerpen penulis yang pernah disiarkan dalam berbagai media. Ianya diolah dan diceritakan semula dalam bentuk penceritaan seorang datuk kepada tiga orang cucunya.

Saya yakin ramai yang masih ingat cerita tentang ketokohan Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Melaka yang menangkap pencuri di waktu malam. Keperibadian baginda itu mengingatkan kita akan ketokohan Khalifah Umar Al-Khattab yang berjalan malam melihat nasib rakyatnya.

Sultan Alauddin dalam novel ini bukan sahaja ditonjolkan sifat keberaniannnya, malah beliau juga disifatkan sebagai seorang yang warak dan kuat beragama. Sultan Alauddin malah pernah belajar tasauf dan ilmu agama dari seorang guru bernama Nuh Ha Mim.

Buku ini menceritakan sejarah hidup Sultan Alauddin dari awal kelahiran hinggalah ke detik-detik terakhir. Seorang Sultan yang warak dan ikhlas, jujur dan berani sudah tentu bnayk mengundang musuh. Akhirnya baginda mangkat dengan cara yang sangat misterius .Itulah detik bermulanya zaman kejatuhan Melaka, bila munculnya anasir yang mengadu domba dan memain peranan untuk mencari pengaruh dan kuasa di istana.

Banyak juga fakta yang saya tidak tahu tentang Sultan Alauddin dan saya jumpa dalam novel ini. Cerita ini menimbulkan rasa kagum, hormat dan bangga saya kepada peribadi seorang Sultan Alauddin Riayat Shah. Saya harap kesan yang sama akan dirasai oleh semua pembaca, terutamanya para remaja.

Novel ini memperkuatkan lagi hujah Faisal Tehrani tentang teori sejarah dalam Islam. Yang perlu diambil dari sejarah bukan hanya fakta tarikh dan nombor. Yang lebih utama ialah mengambil peljaran dan pengajaran, iktibar dan teladan. Sejarah diulang cerita buat pedoman, jadi peringatan dan pengajaran. Yang baik jadi azimat pengukuh jiwa, yang buruk jadi sempadan penghalang derita.

Belilah novel ini untuka anak-anak kita, adik atau saudara kita dan jangan lupa baca juga kerana ianya sesuai untukbacaan semua.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails