Judul : Keledang
Pengarang : A Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Novel
Mukasurat : 171 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9833922055
Kulit Keras
Membaca buku bagaikan kita memasuki satu dunia yang penuh keajaiban. Membaca boleh membawa kita ke zaman yang mustahil kita boleh pergi secara fizikal, tetapi berjaya dilakukan dengan imaginasi dan khayalan pembacaan.
Buku yang ditulis oleh penulis yang hebat akan membawa kita menjiwai dunia yang dicipta sehingga terasa benar-benar berada di dalamnya. Itulah perasan saya bila membaca karya tulisan Sasterawan Negara A Samad Said bertajuk Keledang.
Novel Keledang ini sudah agak lama saya beli. Sudah dua tahun. Saya beli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa KL tahun 2008. Saya masih ingat bergambar bersama SN A Samad Said dan membeli sejumlah buku dari Helmy Samad di gerai Wira Bukit. Sudah nasib buku ini lambat bertemu jodoh dengan pembacanya setelah `bertunang' begitu lama.
Keledang meneruskan penceritaan SN A Samad Said tentang hidup pada zaman Jepun. Latarbelakang yang sama boleh dibaca dalam novel Sungai Mengalir Lesu dan Adik Datang. Novel ini bercerita tentang keadaan hidup di sebuah kampong yang menghadapi kekejaman penjajah Jepun.
Keledang melahirkan keresahan hidup orang-orang biasa yang kebebasannya diragut. SN A Samad Said begitu bijak sekali membina watak yang berbagai di dalam novel ini. Watak seorang isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan bapa berjaya menimbulkan perasaan belas dan simpati pada pembaca. Kasihan anak-anak kecil yang tidak faham apa yang telah berlaku di zaman yang serba resah itu. Begitu juga watak seorang lelaki yang ditinggalkan isteri dan anak-anak betul-betul memberi pengajaran kepada diri yang hidup senang lenang di zaman ini.
Watak pengkhianat bangsa yang mengambil kesempatan di atas kesusahan umat juga amat berbekas kepada diri saya. Rupanya golongan pengkhianat ini wujud di setiap zaman. Sesetengah manusia memilih untuk mengejar kepentingan diri dengan bergayut di pinggang penjajah. Mereka ini sanggup menjadi pembohong, pemeras dan menjadi talibarut penjajah yang menindas bangsa sendiri. Golongan ini suka mengambil kesempatan di atas kelemahan, kesusahan dan kekurangan pengetahuan orang kampung untuk menambun harta .
Zaman penjajahan Jepun memang zaman yang memeritkan. Keperitan hidup dan keresahan untuk meneruskan hidup. Saya tidak sempat merasa zaman Jepun, kerana saya lahir di awal era Dasar Ekonomi Baru, namun cerita susah payah zaman Jepun sering diceritakan oleh orang-orang tua dahulu. Hidup saya semas kecil juga dihabiskan dengan membaca buku cerita dan novel berlatarbelakangkan zaman penjajah Inggeris dan Jepun.
Membaca novel Keledang ini membawa semula kenangan saya semasa kecil. Satu demi satu novel-novel yang pernah saya baca lebih dari 30 tahun dahulu muncul semula dalam ingatan. Karya penulis ASAS 50. Saya tiba-tiba rasa rindu pada kampung juga kenangan bersama orang-orang tua yang kebanyakan sudah lama pergi meninggalkan saya. Arwah Tok Daud dan Tok Kulup, Opah dan Tok Enda. Hiburan kami dahulu, di waktu malam ialah mendengar Tok bercerita tenatang kisah hidup mereka di zaman Jepun. Zaman yang belum ada TV dan masih bertemankan pelita minyak tanah.
Wajah-wajah lain juga datang satu persatu. Wajah Mak dan Abah yang menjadi inspirasi dan pendorong untuk saya menjadi pembaca tegar sejak dari sekolah rendah lagi. Terbayang bagaimana resahnya saya menunggu Mak dan Abah pulang dari mengajar di sekolah dan membawa pulang buku-buku dari perpustakaan. Anak Abah ini sering merungut bila kehendaknya tidak dipenuhi. Menunggu Abah pulang dari pekan Sungai Siput membawa komik, majalah Bujal atau Beano, Utusan Pelajar dan Mingguan Kanak-Kanak. Masih saya ingat juga kenangan membaca buku-buku novel, politik dan agama dari almari buku Abah. Habis buku Kaum Muda saya hadam ketika sekolah rendah.
Aduh! Jauh benar diri ini dibawa mengembara. Begitulah hebatnya sebuah novel yang boleh membawa kita mengembara begitu jauh sekali melampaui zaman dan kembali mengundur diri ke zaman dahulu.
Sesekali, elok juga kita kembali membaca karya-karya sebegini di sebalik membaca buku-buku semasa yang bercerita tentang kisah-kisah yang molek di zaman ini.
© www.jiwarasa.blogspot.com (2004-2010)