Jumaat, Ogos 24, 2007

Robohnya Kota Melaka

.




Seminggu lagi rakyat Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke 50 (Kemerdekaan Tanah Melayu sebenarnya. Malaysia hanya lahir 16 September 1963)

Kita merdeka baru 50 tahun, tetapi kita terjajah lama. Kerajaan Melayu Melaka yang bermula tahun 1402 oleh Parameswara pernah menjadi sebuah empayar agung. Pelabuhan Melaka pernah jadi entreport, pusat dagangan bertaraf dunia. Tempat pedagang dari benua India dan China bertemu dan berdagang barangan dari pelusuk dunia. Kerajaan Melaka pernah membuat hubungan diplomatik dengan Kerajaan China, bahkan Raja Melaka pernah berkahwin dengan puteri Raja China, Puteri Hang Li Po

Kerajaan Melayu Melaka bertahan lebih 100 tahun sehingalah Kota Melaka jatuh ke tangan penjajah dalam tahun 1511.

Peristiwa kejatuhan Melaka itu patut dikenang buat iktibar semua. Semenjak tarikh itu, kita dijajah penjajah laknat selama hampir 450 tahun. Bermula Portugis selama 130 tahun dari 1511 hingga 1641, kemudian diserah kepada Belanda selama 183 tahun (1641- 1824). Tanah Melayu berganti pemilik kepada Inggeris, bertukar bagaikan barang dagangan. Inggeris menjajah dan menjarah hasil mahsul Tanah Melayu selama lebih 130 tahun. Habis hasil mahsul negara dibawa balik England. Tidak cukup dengan penduduk tempatan, kuli dari India dan China di bawa masuk untuk bekerja di estet getah dan lombong bijih.

Portugis mula datang ke Melaka pada tahun 1509 yang diketuai oleh Lopez de Sequirea. Kedatangan Portugis sebenarnya adalah sebagai manifestasi kebebasan dari kerjaan Islam dan membawa ruh Reconquista. Ia bermula pada tahun 1492, apabila kerajaan Islam terakhir di Andalusia ditumpaskan oleh Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Raja Abu Abdillah, yang dipanggil Boabdil menyerahkan Granada kubu terakhir kerajaan Islam di Granada iaitu Al Hambra dengan tangisan.

1492 bermulalah pengusiran dan pembunuhan orang Islam di Andalus. Orang Islam yang dipanggil Moors atau kemudiannya dipanggil Moriskos dihalau ke Morocco. Mereka yang tinggal dipaksa menukar agama ke agama Kristian. Berbagai hukuman keras dan kejam dilaksanakan kepada mereka yang enggan.

Atas semangat Reconquista inilah pelayar-pelayar dari Portugis dan Sepanyol keluar menjelajah ataupun menjajah dunia.

10 Ogos 1511, Alfonso d Albuquerqe telah datang menyerang Melaka. Setelah berlawan dan bertikam untuk mempertahankan Melaka, akhirnya pada 24 Ogos , 1511 jatuhlah Melaka ke tangan penjajah.

Bermulalah sejarah penjajahan yang panjang dan penuh derita.


Berjayanya Portugis laknat menjajah Melak dan kepulauan Melayu adalah kerana krisis dalaman kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka melalui zaman gemilangnya di zaman Sultan Mansur Shah. Sultan Muzaffar Shah juga Sulatan Alaudin Riayat Shah. Ianya dibantu dengan kaliber seorang Bendahara iaitu Tun Perak. Selepas Tun Perak meninggal dunia tahun 1498, bermulalah berbagai masalah apabila Tun Mutahir, seorang Tamil Muslim mula menjadi Bendahara. Melaka mula menjadi lemah apabila Sultan Alauddin mangkat secara misteri di usia muda sejurus sebelum berangkat menunaikan haji di Mekah. Raja Munawar yang sepatutnya menggantikan baginda diketepikan dan dinaikkan Raja Mahmud sebagai Sultan. Sultan Mahmud di usia muda, banyak terpengaruh dengan Tun Mutahir dan senanglah pihak luar masuk memainkan peranan.

Jatuhnya Melaka juga akibat dari sikap khianat Nina Chattu dan Uthimutha yang menjual rahsia kota Melaka kerana termakan dengan janji manis Portugis.

Hari ini 24 Ogos, 1511 menjadi saksi robohnya Kota Melaka dan Tanah Melayu dijajah selama hampir 450 tahun. Menjelang ulangtahun kemerdekaan ke 50 ini moleklah kita merenung kembali sejarah perjuangan melawan penjajah sepanjang zaman. Perjuangan yang panjang menempuh derita penjajahan selama 450 tahun. Kita patut sedar dan belajar dari sejarah. Jangan lupa sejarah. Sedar diri. Jangan ulang kesilapan yang sama.

Kita harus benar-benar merdeka. Jiwa dan Rasa.

Ahad, Ogos 19, 2007

So Many Books - Gabriel Zaid

.
.
.

So Many Books!
: Reading and Publishing in an age of abundance by Gabriel Zaid
Published in Paperback
September 2003
160 halaman
ISBN-10: 158988003X
ISBN-13: 9781589880030



Antara genre buku yang saya minat adalah buku tentang buku. Saya banyak memiliki buku buku dalam kategori tersebut. Buku tulisan
TM Shahrom Sulaiman, sebagai contoh, semuanya sudah saya miliki.

Buku ini adalah satu lagi buku tentang buku yang saya rasa sanagt menarik. Saya ingin cadangkan buku ini dibaca oleh setiap peminat buku. Pengarang buku ini Gabriel Zaid adalah seorang penyair, penulis esei, pengkritik sosial dan budaya juga penulis bidang peniagaan. Tulisan beliau sangat menarik sekali kerana telah berjaya menceritakan tentang dunia perbukuan dan dan penerbitan buku.

13 esei artikel pendek di dalam buku kecil ini yang membincangkan tentang berbagai isu menarik dalam dunia perbukuan. Gabriel Zaid bercerita tentang sejarah dunia buku. Dahulu kala, di abad ke -15 hanya beberapa ratus buku sahaja yang diterbitkan. Kini, kurun ke-20 menyaksikan sejuta buku diterbitkan setiap tahun. Kini sudah lebih 50 juta judul buku sudah diterbitkan.

Banyak statistik tentang buku yang sangat menarik di dalam buku ini. Kata Gabriel Zaid, setiap 30 saat sebuah buku baru akan muncul. Katakanlah sebuah buku berharga RM30, dan ianya setebal 2 sentimeter, kita perlukan RM30 juta untk membeli semua buku itu dalam sethaun. Jika buku tersebut mahu disimpan di rak, kita perlu ada rak sepanjang 15 juta batu untuk menyimpan buku baru tersebut!

Jika kita membaca sebuah buku sehari, kita akan mengenepikan 4000 buku yang diterbitkan pada hari tu. Maknanya jangan rasa sudah pandai bila membaca sebuah buku sehari kerana kebodohan kita akan bertambah sebanyak 4000.

Katakanlah kita punya semua masa dan wang, kita masih tidak mampu membaca semua buku di dalam dunia ini. Katakanlah kita boleh membaca 4 buku seminggu, 200 buku setahun (Ingat, rakyat Malaysia hanya baca 2 buku setahun) Jika mulai saat ini tiada lagi buku yang diterbitkan pun, kita perlukan 250,000 tahun untuk membaca semua buku tersebut. Bahkan, untuk membaca senarai buku dan penulisnya sahaja kita perlukan 15 tahun!

Gabriel Zaid juga menyentuh tentang kos membaca sebuah buku. Kos membaca itu bukan hanya harga buku tersebut. Jika beli sebuah buku berharga RM30 dan kita perlukan 2 jam untuk membaca sebuah buku, kosnya sudah RM50 jika gaji kita RM10 sejam. Itu belum dikira kos mencari buku itu di merata kedai, melayari internet dan membaca lamanweb atau blog sebelum buat keputusan memebeli buku tersebut. Bagaimana pula dengan kos penghantaran, membalut buku, mencari rak buku yang sesuai dan menyediakan ruang di dalam rumah untuk rak tersebut. Tambah pula dengan kos mencari tempat yang bagus dan selesa untuk membaca.

Buku kecil ini membuktikan bahawa buku tidak akan pupus. Industri buku akan terus berkembang. Buku yang terbit akan menjadi sangat banyak untuk kita pilih sebagai bahan bacan. Kita akan menjadi manusia yang sangat rugi jika kita tidak memilih buku yang baik untuk dibaca. Kita bukan setakat rugi, tetapi akan jadi manusia muflis jika hanya membaca 2 buku sahaja setahun.

Isnin, Ogos 06, 2007

Top 20 AMBP

.
.
All Malaysian Bloggers Project

Jangan tanya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana blog ini boleh terpilih Top 20 dari 600 lebih blog yang menyertai All Malaysian Bloggers Project. Saya rasa banyak blog lain yang jauh lebih cantik dan menarik dari blog ini.

Terima kasih kerana memilih Dari Jiwa Rasa... Saya anggap terpilih antara 20 itu sudah satu penghargaan. Apa lagi jika dipilih 5 yang terbaik!



All Malaysian Bloggers Project




Rabu, Ogos 01, 2007

Ceramah Jihad Ekonomi

.
.

Siri Syarahan ISDEV 4
JIHAD EKONOMI
Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim
Ketua Eksekutif Johor Corp
1 Ogos, 2007
Rabu 10 pagi
Dewan Budaya. USM Pulau Pinang



Jumpa saya di USM!





Malamnya, jika masih berbaki tenaga lagi, mahu rasanya menonton Teater Sangeetha, yang diangkat dari novel karya Azizi Hj Abdullah juga di USM.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails