Rabu, April 19, 2006

Bertamu ke Rumah Allah

.

Kalau ikut rancangan awal, saya tidak sempat ke Pesta Buku KL tahun ini. Tetapi takdir menentukan penerbangan kami yang sepatutnya 28 Mac ditangguhkan ke 24 April. Lalu sempatlah saya mencuri masa ke Pesta Buku semasa menghadiri mesyuarat penting di KL.

Ada beberapa buku yang sudah selesai saya baca tapi belum sempat saya tuliskan pengalaman saya membacanya. Antara yang menarik ialah buku memoir tokoh PKMM, Addul Majid Salleh, buku Crosscurrents tulisan Farish A Noor dan juga buku Patah Balek, himpunan artikel tulisan Fathi Aris Omar. Saya juga sedang membaca dua buah buku yang juga sangat menarik iaitu buku Mengembara Mencari Tuhan karangan Sheikh Nadim Al-Jisri juga buku Akulah Angin, Engkaulah Api tulisan Annemarie Schimmel. Buku Philip Kotler on Marketing pula saya jinjing setiap hari di dalm beg kerja untuk dibaca jika berkesempatan.

Saya sebenarnya terpaksa mengenepikan dahulu buku-buku di atas, kerana sedang menekuni beberapa buah buku lain. Buku-buku itu ialah Rahsia Mekah, Rahsia Madinah, Teman Tetamu Allah dan juga Falsafah Umrah. Membaca buku ini sudah tentu caranya berbeza dengan membaca buku-buku lain yang lebih santai sifatnya. Di masa yang sama saya juga mula membaca buku Prof Ahmad Shalaby Sejarah dan Kebudayaan Islam 1 & 2, mengulang baca sejarah kedatangan Islam ke dunia.

Buku-buku ini dibaca sebagai persiapan ke tanah kelahiran Nabi. Tak sabar rasanya ingin ziarahi makam Nabi tercinta, buat kali pertama. Kebetulan pula kita baru sahaja menyambut Maulidur Rasul. Kita sambut Maulidur Rasul tak lama selepas insiden karikatur menghina Nabi. Kesian sungguh mereka yang menghina insan yang sangat mulia. Lebih kesian, bila mereka yang menghina tidak kenal pun tokoh yang mereka hina. Kesian juga kepada mereka yang lebih hina kerana mengenepikan dan memperlekehkan ajaran Nabi, walaupun mereka mengaku umat Nabi.

Tak sabar juga melangkah kaki ke Tanah Suci dan menatap Rumah Allah buat kali pertama. Tak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya pengalaman memandang kiblat yang kita hadapi setiap lima kali sehari!


Jiwa dan Suri akan bercuti mulai tanggal 24. Hari Jumaat dan Sabtu saya akan ke KL atas urusan kerja. Blog ini juga akan bercuti mulai Jumaat sehingga pertengahan bulan Mei. Doakan kami selamat dan sihat di sepanjang perjalanan pergi dan balik.


Kita berpisah seketika untuk bertemu semula, jika diizinkan oleh Nya.

Sabtu, April 15, 2006

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2006




SEMINAR PENCINTA BUKU MALAYSIA 2006
TEMPAT: Dewan Utama Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam
TARIKH: 20 April 2006; 9:00 pagi - 5:00 petang
MASUK PERCUMA


Saya telah berjanji dengan Sdr Shaharom TM Sulaiman untuk menghebahkan tentang Seminar Pencinta Buku yang julung kalinya diadakan pada hari Khamis ini, 20 April, 2006.

Seminar ini diusahakan oleh rakan-rakan di bukuonline yang antara lain dipelopori oleh Khairusy Syakirin. Syakirin antara peminat buku yang paling awal saya kenal di alam maya. Beliau antara yang aktif di Geng Buku di Geng Jurnal. Tidak keterlaluan saya katakan, perbincangan di forum tersebutlah antara yang memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan blog ini.

Seminar ini dianjurkan bersama oleh komuniti bukuonline.org dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia dan Yayasan Pembangunan Buku Negara. Ianya terbuka kepada semua pencandu buku. Tiada bayaran yang akan dikenakan. Lebih menarik lagi, ramai tokoh pencinta buku akan menghadiri seminar ini. Antara lain, Shaharom TM Sulaiman, Jaafar Rahim, Faisal Tehrani, Zin Mahmud, Ainon Mohd, Sayyed Munawar dan lain lain.


Kepada peminat buku, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Khabarnya, Kelab Pencinta Buku Malaysia juga akan dilancarkan pada hari tersebut.

Terkilan betul rasanya kerana tidak dapat hadir memeriahkan seminar tersebut.

Cuti sudah tidak berbaki dan saya juga sedang bersiap untuk bercuti panjang. Banyak tugas perlu dilunaskan sebelum bertolak. Cemburu betul saya pada biblioholik yang dapat hadir.

Selamat berseminar dan berdiskusi kepada semua rakan biblioholik.


SEMINAR PENCINTA BUKU MALAYSIA 2006

20 April 2006 (Khamis)
8.30 pg - 5.00 petang
Perpustakaan Awam Selangor
(Perpustakaan Raja Tun Uda), Shah Alam


Objektif seminar

1.Sebagai sebuah forum untuk pencinta buku untuk berdiskusi tentang hal-hal buku dan dunia perbukuan.
2.Untuk mengembangkan budaya biblioholisme (kecanduan terhadap buku dan segala hal yang
berkaitan dengan dunia perbukuan).
3.Sebagai medan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti biblioholisme di kalangan pencinta buku.




Antara Panel Jemputan :

JAAFAR RAHIM (KALAM)
Menikmati Sentuhan Buku dan Estetika Membaca

SHAHAROM TM SULAIMAN
Biblioholisme : Mengenal Dunia Pencinta Buku

KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM & NAL AZRI (Bukuonline)
Membudayakan Buku di Kalangan
Pencinta Buku : Pengalaman bukuonline.org

ZIN MAHMUD (Utusan Malaysia)
Peranan Akhbar dalam Mempromosi Budaya Membaca dan Dunia Buku: Pengalaman
Utusan Malaysia

FAISAL TEHRANI
Penghayatan dunia buku dalam alam
penulisan kreatif : satu penerokaan peribadi

DATIN PADUKA HAJAH SHAHANEEM HANOUM (Pengarah Perpustakaan Awam Selangor / Presiden MBBY)
Peranan Perpustakaan Awam Dalam Melahirkan Pencinta Buku

DR. ABU HASSAN HASBULLAH (Jab. Pengajian Media, UM)
Dunia Buku dan Tradisi
Kesarjanaan

SYED MUNAWAR(Resensi Buku - RTM)
Membudayakan Buku dan
Minat Membaca : Pengalaman RTM

AINON MOHAMAD (PTS Publications)
Penghayatan Buku Dalam Dunia Wanita : Satu Pengalaman

Maklumat lanjut di bukuonline

Rabu, April 12, 2006

Salam Maulidur Rasul

.

12 Rabiul awal Nabi lahir. 12 Rabiul awal juga Nabi wafat. Pahit getir Nabi hadapi menyampaikan dakwah ke seluruh alam. Dulu Nabi dibaling batu ketika berdakwah ke Taif. Kini setelah Baginda wafat, ajaran Nabi seolah-oleh dibaling jauh oleh ramai yang mengaku umatnya. Maulidurrasul disambut, tetapi ajarannya dihindari, malah ada yang berani menentangnya. Kita mengaku sayangkan Nabi. Namun, apa ertinya sayang jika hanya mainan di bibir. Amalan dan tindakan kita bertentangan sungguh dengan lafaz sayang yang dulang-ulang.

Khutbah Widak adalah khutbah terakhir yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad sebelum Baginda wafat. Ianya disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10H di lembah Uranah, Bukit Arafah. Baginda wafat pada 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.Walaupun sudah 1416 tahun Nabi meninggalkan kita, khutbah widak ini sentiasa relevan kepada kita. Setiap kali membacanya seakan baru pertama kali membacanya...

Sempena mengenang hari kelahiran Nabi, marilah kita renung kembali pesanan Nabi dalam khutbah yang terakhir ini.



"Wahai manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan.Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemilik yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.ALLAH telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak keatas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

ALLAH Dirikanlah sembahyang lima kali sehari,berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap ALLAH pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan"

Jumaat, April 07, 2006

Ahmad Boestamam - Merdeka dengan API

.

Memoir Ahmad Boestamam Merdeka dengan Darah dalam Api
Penerbit UKM
Bangi 2004
RM55.00 Pesta Buku KL 2005



Saya telah tidak berlaku adil kepada buku ini. Buku ini sebenarnya sudah genap setahun saya beli tapi baru minggu lepas saya selesai baca. Saya takut tengok tebalnya buku ini. Lalu terperuklah buku ini di rak buku menanti belekan dan belaian dari saya.

Saya beli buku ini di Pesta Buku KL 2005, tahun lepas. Masih saya ingat perbualan saya dengan pekerja di gerai Penerbitan UKM masa tu. Saya bertanyakan beberapa buku memoir tokoh kiri. Dia berbisik mengatakan buku tersebut telah ditarik pengedarannya. Lalu buku ini dan beberapa buku tokoh kiri yang lain, saya beli tanpa fikir panjang, kerana risau tidak dapat membelinya di kemudian hari.

Buku tebal ini sebenarnya adalah himpunan 3 buku tulisan Ahmad Boestamam iaitu Merintis Jalan ke Puncak (1972) Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976) dan Lambaian dari Puncak (1983). Dilampirkan juga Testament Politik API, sebuah karya hebat Ahmad Boestamam yang mendahului waktu.

Siapa dia Ahmad Boestamam? Namanya mungkin kurang dikenali oleh generasi muda. Hanya sesekali namanya disebut dalam nota kaki sejarah perjuangan kemerdekaan negara. Begitulah lazimnya sejarah yang biasanya ditulis oleh orang yang menang. Ahmad Boestamam merupakan antara tokoh penting yang memulakan gerakan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Sejarah mencatat Boestamam sebagai tokoh radikal Melayu, pejuang golongan kiri. Pengasas Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap pemuda PKMM yang pernah dipimpin oleh Dr Burhanudin Helmy. PKMM adalah badan yang pertama mempopularkan kalimah 'Merdeka' di saat orang Melayu masih tidak percaya boleh memerintah sendiri. Bahkan ada orang Melayu yang menyindir pejuang Melayu dengan kata 'bagaimana mahu Merdeka. Buat jarum pun kita tak tahu..' Merdeka bagi Orang Melayu masa itu adalah suatu yang karut, dianggap tahyul dan mustahil. British dianggap tuan yang baik, dan ramai juga yang selesa menyembah British. Kepada mereka inilah kemudiannya dianugerahkan kemerdekaan oleh British.

PKMM lahir di sebuah pejabat di Jalan Brewster, Ipoh. Ahmad Boestamam adalah salah seorang AJK penaja selain Pak Sako dan Mokhtarudin Lasso. Dr Burhanudin hanya dilantik sebagai Yang dipertua PKMM di dalam Kongres yang diadakan kemudiannya. PKMM lahir di pejabat akhbar Suara Rakyat yang diusahakan oleh Ahmad Boestamam bersama rakan-rakan. Mereka telah berjaya mengusahakan akhbar tanpa keluar modal awal. Belanja makan dan urusan akhbar dikutip dari jualan akhbar pada hari tersebut

Rustam A Sani, seorang tokoh yang tulisannya saya gemari, adalah anak Ahmad Boestamam. Dulu saya sering bertanya kenapa namanya tidak berbinkan Ahmad Boestamam. Rupanya, nama sebenar Ahmad Boestamam ialah Abdullah Sani. Ahmad Boestamam adalah nama gelarannya yang diambil sempena nama seorang pejuang kemerdekaan yang beliau kagumi iaitu Chandra Bose.

Sejarah mencatatkan, beliau pernah dipenjarakan selama tiga kali, tahun 1941, tahun 1948 dan tahun 1963. Buku ini menceritakan banyak kisah beliau di dalam tahanan. Bagaimana ibu Boestamam jatuh sakit apabila anaknya ditahan. Apabila diajak menjenguk anaknya ke penjara, beliau bertegas hanya mahu berjumpa dengan Boestamam di rumahnya sebagai seorang yang bebas. Ibunya akhirnya meninggal akibat dek rindu dendam terhadap sang anak, seorang pejuang. Perginya beliau tanpa Boestamam di sisi.

Begitulah pengorbanan seorang pejuang. Ramai Melayu yang mencemuh mereka kerana mahu melawan British, ada yang bersorak bila mereka ditangkap. Apapun tanggapan kita terhadap cara perjuangan yang mereka pilih, mereka telah membuktikan pengorbanan kepada bangsa dan negara. Keberanian dan ketegasan melawan penjajah, perlu jadi iktibar pada generasi kini. Kita rindukan pemimpin yang tegas dan berani, tidak menggadai prinsip dan pegangan, serta tidak terbuai dilamun kesenangan sementara, atau tersilau dengan kilauan kaca yang disangka intan.

Zaman mereka sudah berakhir. Kini giliran kita meneruskan perjalanan. Pendayung sudah tersedia. Terserah kita mahu ke mana.

Selasa, April 04, 2006

Jasad letih, Jiwa gembira

.



  1. Letih. Badan sakit-sakit. Tekak rasa perit. Tapi jiwa rasa gembira. Ramai sanak saudara yang datang, hari Ahad lepas. Semuanya memuji. Terharu betul jiwa dan suri. Terima kasih banyak. Setelah lapan tahun menyewa, akhirnya tercapai juga impian.

  2. Hari ini hari lahir Suri. Tahun ini kami sambut hari lahir di rumah baru. Selamat ulangtahun. Moga panjang umur dengan iman dan amal. Moga kita diberi keberkatan dan kesabaran dalam hidup.

  3. Selamat datang Aida ke Penang!




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails